Tuesday, February 21, 2012

Namanya Ibrahim.

Assalamualaikum,

Nabi Ibrahim A.S adalah Rasul Allah yang ke-6 selepas Nabi Saleh A.S. Baginda termasuk dalam kalangan rasul ulul-azmi disebabkan jerih perih yang dihadapinya dalam menerangkan konsep keesaan Allah kepada umatnya termasuk kepada bapanya sendiri yang merupakan tukang membuat patung berhala. Nabi Ibrahim jugalah manusia yang mula-mula sekali rambutnya ditumbuhi uban (rambut putih). Baginda pernah bertanya kepada Allah tentang perihal rambut putih dikepalanya, lantas dijawab Allah bahawa itu adalah tanda kehebatan, kewibawaan baginda. Lalu Nabi Ibrahim A.S berdoa kepada Allah supaya ditambahkan lagi uban atas kepalanya sebagai tanda kehebatan dan kewibawaan.

Dalam Al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan surah Ibrahim, Makkiyah. Surah ini dinamakan surah Ibrahim mengambil sempena doa Nabi Ibrahim kepada Allah yang termuat dalam ayat 35-41. 

Nabi Ibrahim A.S adalah nabi dan rasul yang hebat. Baginda adalah satu-satunya nabi selain Nabi Muhammad SAW yang namanya disebut dalam bacaan tahiyat akhir.

Apakah kisah Nabi Ibrahim yang paling besar? Selain daripada kisah baginda berdialog dengan kaumnya setelah memecahkan berhala yang paling besar, selain daripada kisahnya dicampak ke dalam api? Tentunya peristiwa korban yang diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail A.S.

Mengapa kisah korban ini menjadi satu kisah yang sangat besar bagi kita umat Islam sampai ke hari ini sehingga setiap 10 Zulhijjah kita dituntut melakukan ibadah korban? Peristiwa bersejarah yang sangat agung ini berlaku bilamana Nabi Ibrahim yang telah 99 tahun berkahwin tapi belum dikurniakan zuriat. Baginda terlalu sangat menginginkan zuriat sendiri sehingga tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT. 

Ditakdirkan Allah, Nabi Ibrahim dikurniakan anak hasil perkahwinannya dengan Hajar, iaitu hamba kepada isterinya yang pertama, Sarah. Anak itu dinamakan Ismail yang kelak juga menjadi nabi Allah. Namun, atas sifat sayang Allah kepada Ibrahim AS, baginda diuji lagi. Kali ini ujian yang datang terlalu berat yang saya kira sampai ke hari ini tiada orang yang mampu untuk melakukannya sepertimana baginda Ibrahim AS. Allah SWT memerintahkan supanya disembelihnya Ismail. Hancur luluh hati Ibrahim AS apabila mengenangkan terpaksa menyembelih anaknya sendiri. Sudahlah begitu lama menunggu untuk mendapat zuriat, setelah memperoleh zuriat, diperintahkan pula oleh Allah untuk menyembelih anaknya sebagai korban. Tetapi, Nabi Ibrahim AS bukanlah manusia sembarangan, baginda bukanlah lemah sehingga sanggup mengenepikan perintah Allah. Dengan keimanan yang 'solid' kepada Allah, baginda bersama Ismail AS nekad untuk melaksanakan perintah Tuhan. Bermula dari situ, maka berlakulah ibadat korban sepertimana yang kita semua sedia maklum melalui kisah-kisah yang telah disampaikan oleh guru serta ustaz-ustaz semenjak dahulu lagi. Apa yang ingin difokuskan adalah perasaan Nabi Ibrahim bilamana diperintahkan supaya menyembelih Ismail AS, sudahlah terlalu menginginkan zuriat, setelah mendapat zuriat, terpaksa dikorbankan pula. Tetapi, keimanan dan ketakwaan kepada Allah mengatasi segala-galanya. Saya ingin mengajak pembaca menyelami perasaan baginda, adakah kita mampu jika ujian sebegini datang kepada kita? Siapa yang tidak sayangkan anak. Saya yang ada anak baru berusia 4bulan pun sangat sayangkan anak walauppun baru berkahwin 2tahun, inikan pula Nabi Ibrahim yang berkahwin 99 tahun kemudian baru dikurniakan zuriat.

Berbalik kepada doa Nabi Ibrahim yang termuat dalam surah Ibrahim ini, peristiwa ini tercetus setelah Nabi Ibrahim dan Hajar dikurniakan Ismail. Isteri baginda yang pertama, Sarah, sudah tentulah sebagai seorang manusia, mempunyai sedikit perasaan cemburu di hati melihatkan Hajar melahirkan zuriat untuk baginda. Lalu Sarah meminta Nabi Ibrahim AS membawa Hajar serta Ismail jauh daripada pandangan matanya. Perlu difahami bahawa Sarah bukanlah dengki/iri hati, tetapi atas kapasitinya sebagai manusia, malahan perempuan lagi, sifat cemburu tidak dapat dielakkan. Sebelum perasaan cemburu bertukar menjadi sesuatu yang buruk, ada baiknya pengasingan dilakukan. Maka serentak dengan itu juga, Allah memerintahkan baginda membawa Hajar dan Ismail ke suatu lembah yang kering kontang untuk didiami. Tempat itu bernama Makkah, ada riwayat mengatakan Bakkah, suatu lembah yang kering, dikelilingi bukit-bukit batu yang pejal serta tiada air dan makanan. Ketaatan kepada Allah mengatasi segala-galanya. Tanpa banyak soal, Nabi Ibrahim membawa Hajar dan Ismail tinggal di Makkah.

Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya meninggalkan Hajar dan Ismail di Makkah. Itulah perancangan Allah. Nabi Ibrahim patuh walaupun hatinya keberatan untuk meninggalkan anak isterinya di tempat yang memang tandus itu. Sebelum meninggalkan mereka, sebagai hamba Allah yang tunduk kepada kekuasaanNya, Nabi Ibrahim tidak lupa memohon doa kepada Tuhannya. 

رَبِّ اجْعَلْ هذا البَلَدَ آمِناً وَاجْنُبْنِى‏ وَبَنِىَّ أَنْ نَعْبُدَ الأَصْنام * رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيراً مِنَ النّاسِ فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّى‏ وَمَنْ عَصانِى‏ فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ * رَبَّنا إِنِّى‏ أَسْكَنْتُ مِنْ ذُرِّيَّتِى‏ بِوادٍ غَيْرِ ذِى‏ زَرْعٍ عِنْدَ بَيْتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقِيمُوا الصَّلاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِنَ النّاسِ تَهْوِى‏ إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُمْ مِنَ الثَّمَراتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ * رَبَّنا إِنَّكَ تَعْلَمُ ما نُخْفِى‏ وَما نُعْلِنُ وَما يَخْفى‏ عَلى اللَّهِ مِنْ شَى‏ءٍ فِى‏ الأَرضِ وَلا فِى‏ السَّماءِ * الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى‏ وَهَبَ لِى‏ عَلى‏ الكِبَرِ إِسْمعِيلَ وَإِسْحقَ إِنَّ رَبِّى‏ لَسَمِيعُ الدُّعاءِ  * رَبِّ اجْعَلْنِى‏ مُقِيمَ الصَّلاةِ وَمِنْ ذُرِّيَّتِى‏ رَبَّنا وَتَقَبَّلْ دُعاءِ * رَبَّنا اغْفِرْ لِى‏ وَلِوالِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الحِسابُ 

“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah), negeri yang aman, dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala-berhala. Ya Tuhan-ku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka barang siapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan barang siapa yang mendurhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan salat, maka jadikanlah hati sebagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezekilah mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi maupun yang ada di langit. Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa. Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan salat, ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, beri ampunlah aku dan kedua ibu bapakku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).”

Faham daripada doa Nabi Ibrahim ini:

  • Allah SWT memakbulkan doa Nabi Ibrahim supaya Makkah menjadi negeri yang aman. Lihatlah hari ini, Makkah sudah menjadi satu tumpuan jutaan umat Islam. Tiada peperangan dibenarkan di Makkah, tidak ada binatang dan tumbuh-tumbuhan boleh dirosakkan di Tanah Haram. Siapa sangka doa Nabi Ibrahim beribu-ribu tahun dahulu makbul sehingga ke hari ini.
  • Nabi Ibrahim juga tidak lupa mendoakan supaya anak cucu baginda tidak menyembah asnam (berhala), kerana berhala itulah punca kepada kesesatan ramai umat manusia sehingga zaman sekarang. Kitalah anak cucu nabi Ibrahim AS yang pada hari mendapat nikmat Islam sebaik sahaja dilahirkan. 
  • Nabi Ibrahim berkata sesiapa yang mengikuti agamanya yakni agama menyembah Allah, maka termasuk dalam kalangannya. Dan barangsiapa yang mengingkari agamanya, mudah-mudahan Allah SWT mengampunkan mereka. Lihatlah betapa lembutnya hati baginda dengan tidak mendoakan kemusnahan kepada golongan yang ingkar dengan agama Allah. Baginda Ibrahim AS boleh saja berdoa supaya Allah memusnahkan golongan ingkar, tetapi baginda memilih untuk berlembut dan menyerahkan segalanya kepada Penciptanya, Allah SWT.
  • Nabi Ibrahim mendoakan supaya zuriatnya akan kekal dalam mendirikan solat. Inilah asas yang sangat penting dalam tarbiyah Islamiyah. Solat menjadi perkara asas. Sewajarnya kita mengambil doa baginda sebagai amalan harian, mudah-mudahan Allah SWT akan meneguhkan hati-hati supaya berterusan dalam mendirikan solat. Inilah sifat-sifat orang yang hebat, perkara solat tidak dilupakan. Begitu juga halnya dengan kisah Luqman Al-Hakim dengan anaknya, Luqman tidak lupa berpesan kepada anaknya supaya mendirikan solat. Ini direkodkan dalam al-Quran.
Setelah meneliti maksud-maksud yang terkandung dalam doa baginda, maka wajarlah dikatakan  bahawa baginda adalah seorang penyeru kepada tauhid yang terkemuka dalam sejarah. Malah Nabi Ibrahim juga dikatakan bapa kepada para nabi-nabi. Daripada anaknya Ismail, lahirlah junjungan besar Nabi Muhammad SAW, dan daripada anaknya Ishaq, lahirlah nabi-nabi Bani Israil seperti Nabi Yaaqub, Yusuf etc.

Mengambil semangat dan kefahaman tentang keperibadian Nabi Allah Ibrahim AS, maka saya dengan sukacitanya menamakan anak sulung lelaki saya dengan nama Ibrahim. Mudah-mudahan keperibadian agung yang terdapat dalam diri Nabi Ibrahim AS, akan terpantul pada akhlaknya nanti. Allahumma faqqihhu fiddin, wa'allimhu ta'wil.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment