Semalam saja-saja kembali mendengar kuliah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ust Hj Ismail Kamus tentang kupasan beliau mengenai alam jin. Memang berguna kepada kita semua untuk mengambil tahu hal ini selain daripada hal-hal agama yang lain. Saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai isi kuliah ini. InsyaAllah saya akan cuba menyampaikan dengan sebaiknya mengikut gaya penulisan saya sendiri tanpa mengubah isi asal kuliah ini.
Baiklah, kita mulakan.
1) Apakah kepentingan kita mengambil tahu tentang alam jin ini?
- Sebenarnya, mengambil tahu tentang alam jin ini bukanlah untuk lebih menakutkan kita tetapi supaya kita lebih kenal siapa sebenarnya jin, dan apa peranannya serta kedudukannya di akhirat kelak.
- Supaya kita tidak menjadi syirik serta menduakan Allah jika tidak mengetahui siapa sebenarnya jin itu.
- Supaya kita jangan terlalu takut dan jangan terlalu berani dengan jin ( Sebenarnya jin takut dengan kita, walhal kita pulak takut dengan dia)
- Jin berasal daripada Jaan, iaitu bapa Jin. Gelarannya adalah Azazil.
- Azazil juga adalah makhluk Allah. Allah menciptakan Azazil daripada api (lidah api yakni hujung api).
- Azazil sudah beramal kepada Allah selama lebih 10000 tahun, namun terdapat kesombongan dalam dirinya yang menyebabkan dia tidak mahu menurut perintah Allah supaya hormat kepada Nabi Adam A.S ( Dalam Al-Quran disebutkan sujud kepada Adam).
- Disebabkan keengganannya untuk sujud, maka Allah melaknatnya dan dihumban ke dunia.
- Setibanya di dunia, terbahagi kepada dua bahagian iaitu jin dan syaitan.
- Kedua-dua jin dan syaitan adalah berasal daripada satu sumber yang sama, cuma peranan dan namanya saja yang berbeza.
- Jin ada yang beragama Islam dan ada yang kafir, tetapi syaitan kesemuanya kafir belaka.
- Dalam bahasa Arab, apabila huruf jim dan nun bersambung dalam satu perkataan, maka membawa makna sesuatu yang tidak nampak. Contoh, al-jannah (syurga) adalah sesuatu yang tidak nampak, junna (pelindung) juga tidak nampak, janin ( bayi dalam kandungan) juga kita tidak nampak secara mata kasar, dan jin ( memang kita tidak nampak).
- Jin Islam, ada yang baik dan ada yang tidak baik.
- Jin diciptakan daripada api, maka asal makanannya pun daripada api iaitu asap.
- Manusia diciptakan daripada tanah, maka asal makanan manusia daripada tanah seperti nasi, lembu (lembu makan rumput, rumput daripada tanah).
- Jin makan asap, sebab itulah kita dilarang keras untuk membakar kemenyan atau setanggi yang berbau walaupun ketika berlaku kematian. Sesetengah orang kita membakar kemenyan ketika berlaku kematian kononnya untuk mengelakkan bau busuk jenazah, tapi hakikatnya perbuatan itu dilarang dalam agama. Lebih-lebih jika melakukan perbuatan mengubat tradisional menggunakan kemenyan. Sebenarnya dukun atau bomoh yang menggunakan kemenyan sewaktu berubat, terang-terangan sedang menjamu jin-jin dengan asap kemenyan yang berbau busuk itu. Ada satu persoalan di sini, adakah orang yang menghisap rokok boleh dikatakan bersamaan dengan jin? =)
- Ketika zaman Rasulullah S.A.W, para jin berjumpa Baginda dan meminta supaya Baginda menambahkan jenis makanan untuk kaum jin. Maka Nabi S.A.W bersabda supaya jin-jin ini untuk turut makan tulang-tulang sebagai makanan mereka selain daripada asap.
- Jin Islam makan tulang-tulang binatang yang disembelih, manakala jin kafir sapu kesemua jenis tulang binatang.
- Atas sebab itulah, kita dilarang untuk beristinjak dengan menggunakan tulang. Nanti mengamuk jin-jin sebab tulang iaitu makanan mereka kita guna untuk beristinjak.
- Najis binatang ternakan manusia menjadi makanan kepada binatang ternakan jin.
- Tempat tinggal jin ialah di udara, di atas awan, di lautan luas dan di dalam hutan.
- Sebab itulah kalau kita masuk ke dalam hutan dan hendak membuang air kecil, jangan terus buang air. Orang tua-tua zaman dulu selalu pesan suruh minta izin dulu. Contoh ayat "Tumpang lalu tok, anak cucu tumpang buang air kecil di sini". Sebenarnya betul pesan orang tua-tua zaman dulu, cuma pendekatannya saja yang salah.
- Begini, jikalau terpaksa buang air di tepi-tepi jalan atau dalam semak atas sebab yang darurat, maka hendaklah disebut "Salaamun 'ala Sulaymaana fil 'aalamiin". Iaitu satu sebutan yang boleh menyebabkan jin mendengarnya takut disebabkan kita menyebut nama Nabi Sulaiman A.S. Semua orang tahu kehebatan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Sulaiman untuk menundukkan manusia, jin, dan binatang dibawah perintahnya. Atas sebab itulah, jin akan melarikan diri bila mendengar nama Nabi Sulaiman, maka selamat untuk membuang air.
- Dalam sesetengah kitab feqah, ada melarang kita membuang air ke dalam lombong, atau sungai yang tenang, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana jin suka berendam pada waktu malam.
- Bagi rumah yang telah lama kosong, maka sebelum menghuni rumah itu, hendaklah membaca surah al-Baqarah. Tidak perlu menepung tawar, atau mengetuk ancak dan sebagainya. Ini semua kepercayaan dan adat yang karut.
- Kadang-kadang orang tua-tua selalu berpesan, kalau kita nak masuk ke dalam rumah pada waktu malam, dan rumah itu mengandungi anak kecil, jangan terus masuk. Sebaliknya duduk dulu lama-lama kat luar, baru masuk. Betul pesan itu, tapi silap pendekatan lagi. Masuklah dengan memberi salam dan bismillah, kemudian barulah menyentuh anak kecil itu. Jika tiba-tiba bayi menangis melolong dan suaranya naik meninggi, sahlah terkena gangguan. Macam mana hendak mengatasinya? Azan sekurang-kurangnya 7 kali. InsyaAllah. Jika sudah azan tidak menjadi juga, hendaklah membaca ayat Kursi dengan 9 kali tempat berhenti. Sebab ketika turunnya ayat Kursi yang diiringi 70000 malaikat dulu, para jin dan syaitan menjadi panas dan tidak keruan.
- Kenapa kena baca ayat Kursi dengan 9 kali berhenti? Sebab jin pun pandai membaca ayat Kursi. Tapi teknik bacaannya lain. Cuba bayangkan jika kita mengubati orang yang terkena gangguan jin dengan membaca ayat kursi, jin juga boleh sama-sama membacanya dengan kita. Bezanya dia tak dapat meneruskan bacaan jika kita berhenti 9 kali, maka akan terbakarlah dia.
- Jin adalah makhluk yang paling buruk. Manakala manusia adalah makhluk yang paling sempurna dan cantik. Sebab itulah manusia yang tidak cantik tidak patut rasa malu, kerana itulah yang sempurna ciptaan Allah kepadanya jika dibandingkan dengan jin.
- Jin ada yang tinggi, tingginya melampau. Yang gemuk, gemuk dan pendeknya melampau. Yang bulat, menggerutu badannya melampau. Sebab itulah orang Melayu meletakkan nama hantu galah untuk jin yang tinggi, toyol untuk jin yang pendek, dan hantu raya untuk jin yang sangat hodoh.
- Atas sebab itulah, Allah S.W.T menutup hijab antara kita dengan jin. Jika Allah mengangkat hijab itu, maka akan pengsanlah umat manusia kerana betapa hodohnya jin itu. Wallahua'lam.
Sekian. Wallahua'lam.