Thursday, June 23, 2011

Mengenal Jin Bahagian 3 | Ust Ismail Kamus

  • Adakah jin berkahwin?
Jin berkahwin dan berketurunan. Jin beranak-pinak sangat ramai. Sebab itu kalau jasad dimasuki jin, dia akan masuk secara rombongan ramai-ramai dalam sesetengah kes gangguan jin. Kalau beranak-pinak, boleh mencecah sampai 1000 ekor setahun. Pernah dalam badan seseorang yang dirasuk jin sampai berpuluh ekor, hinggakan proses penyembuhan akan mengambil masa yang sangat lama.
Mereka juga bercucu cicit dan tersangat ramai bilangannya.

Bagaimana mereka berkahwin? Wallahua’alam. Mereka ikut syariat Nabi S.A.W jika mereka Islam. Jin juga menganut berbagai-bagai mazhab. Kalau jin Syiah, maka ramailah isteri-isteri mereka, nikah mut’ah.

  • Umur dan hayat jin bagaimana?

Jin ini umurnya sangat panjang, apabila mereka hendak mati, maka akan dipohon kepada Allah S.W.T supaya dimudakan kembali, maka Allah akan perkenankan. Yang tak mati sampai akhir sekali ialah Azazil sahaja.

Azazil juga pernah meminta kepada Allah supaya dia dimatikan pada tiupan sangkakala ke-2, tapi ditolak oleh Allah. Sejajar dengan firman Allah bahawa ‘setiap yang hidup pasti akan merasai mati’ , maka Azazil juga akan mati pada tiupan sangkakala yang pertama nanti.

Nabi Muhammad S.A.W pernah terserempak dengan Azazil di Mekah, keadaannya sudah bongkok dan tersangat tua, serta meleleh air liurnya.

Allah haramkan jin dan syaitan daripada menyerupai Nabi Muhammad S.A.W. Jika kita ditakdirkan untuk bermimpi bertemu Rasulullah, maka benarlah mimpi itu.

  • Apakah hukum manusia berkahwin dengan jin?

Orang Melayu selalu menyebut tentang bunian. Bunian itu sebenarnya jin. Orang-orang tua selalu berhikayat, asal bunian adalah satu kaum menjemput Nabi S.A.W datang utk berkenduri, tetapi kesilapannya adalah tiada daging, maka disembelihnya anjing. Nabi sedar dan tidak menjamah langsung makanan itu, maka mereka berasa tersangat malu dan meminta Nabi S.A.W berdoa kepada Allah S.W.T supaya dighaibkan mereka daripada pandangan mata kasar.

Ini hanyalah kisah dari mulut orang Melayu . Tidak disebut langsung dalam kitab-kitab, jauh sekali kitab yang muktabar. Sebenarnya bunian itulah jin.


       
Hukum yang pertama. Ulama kata haram mengikut fahaman mazhab Imam As-Shafiee selaras dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum ayat 21:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran


            Faham daripada ayat al-Quran di atas adalah Allah menciptakan pasangan kita daripada kalangan kita sendiri, contohnya manusia mestilah dengan manusia, jin dengan jin, dan haiwan dengan haiwan. Dalam ayat ini juga, Allah sudah menerangkan dengan jelas hikmah jika berkahwin daripada kalangan manusia sendiri.

Mazhab Hanafi dan yang lain mengatakan sah. Mazhab Maliki menghukum harus.  Lebih-lebih lagi yang berkahwin itu perempuan. Banyak masalah yang akan timbul, seperti contoh jika ada seorang perempuan dari kalangan manusia berkahwin dengan jin lelaki, sudah tentu akan timbul fitnah kerana tiba-tiba sahaja perempuan itu sudah mengandung tanpa suami di sisi.

Kesimpulannya, jikalau jin mengajak kahwin, tak payah lah. Memang ada jin yang berminat dengan manusia lebih-lebih lagi manusia yang terlalu baik, dan juga terlalu merendah diri. Kita tidak tahu apa muslihat jin terhadap manusia-manusia baik ini, sebagai waspada, elakkan daripada terlibat dengan unsur-unsur puteri bunian dan sebagainya.

Jin boleh dicampak dalam botol, tapi tidak boleh dibunuh. Ditakdirkan satu hari, tiba2 ada orang membuka botol yang mengurungnya, dia akan berterima kasih lalu jatuh hati dan mengajak kahwin.


  • Lain-lain info.

Ada orang bertanya bagaimana berlakunya anak yang bersifat khunsa?

Apabila seorang lelaki mendatangi isterinya dalam keadaan haidh, maka dia didahului syaitan. Maka lahirnya anak2 khunsa. Balasan Allah terhadap larangan mendekati perempuan yang haidh. Dalam hal ini mungkin kita akan teragak-agak bagaimana seorang perempuan yang haidh mampu untuk hamil jika berlaku persetubuhan ketika itu, maka sains pembiakan dan pemahaman mendalam tentangnya serta keteguhan kepada kepercayaan Islam akan mampu merungkai persoalan ini. =)


Apa hukumnya wajib mandi bila jin menyetubuhi manusia?

Sesetengah daripada kita pernah menuntut ilmu salah, jadi semasa sudah tua dan berhasrat untuk meninggalkan ilmu itu, maka jin yang rapat dengan kita akan membenci kita, maka pada waktu malam dia akan menyetubuhi isteri kita.

  1. Ada ulama mengatakan wajib mandi.
  2. Ada ulama mengatakan tidak wajib mandi, melainkan rasa ada sesuatu keluar atau kemasukan sesuatu.

Adakah jin boleh mendengar rahsia langit?

Sebelum al-Quran turun, jin boleh mendengar berita dari langit. Sekarang bila jin nak mencuri dengar, dia akan dilempar dengan api.

Semasa zaman Nabi Musa a.s, jin dan syaitan masih lagi boleh mendengar perbualan para malaikat, maka jin mencuri info berkaitan perkara ghaib dan melaporkan kepada ahli-ahli sihir Firaun laknatullah. Ketika itu, setiap ramalan yang dibuat oleh nujum dan ahli sihir semuanya tepat. Perkara ini berterusanlah sehingga zaman al-Quran diturunkan, jin tidak boleh lagi mendengar berita dari langit. Akan tetapi, jin berterusan membohongi ahli nujum dan ahli sihir tentang perkara ghaib walhal perkara itu sudah berlalu.

Jin berbohong pun nujum tetap percaya. Oleh itu, jangan sesekali terlibat dengan kes ahli nujum @ ahli tilik nasib, karut. Nujum Pak Belalang ok, sebab dia cuma curi dengar orang bincang jawapan dalam bot..=)

Sekian, bahagian 3. Bahagian 4 akan menyusul nanti, insyaAllah.

Assalamualaikum.

Sunday, March 20, 2011

Mengenal Jin Bahagian 2 | Ust Ismail Kamus

Assalamualaikum,

  • Manusia sebenarnya lebih hebat daripada jin. Ini dibuktikan sewaktu zaman Nabi Sulaiman a.s iaitu kisah tentang jin Ifrit menawarkan diri untuk mengangkat istana Balqis ke tempat Nabi Sulaiman. Ifrit berkata bahawa dia mampu untuk mengangkat istana itu pada waktu pagi, dan akan sampai ke tempat Nabi Sulaiman tengah duduk menjelang petang. Nabi Sulaiman menolak tawaran Ifrit dengan alas an terlalu lambat. Tiba2, ada seorang manusia yang hebat ibadahnya iaitu ‘Asif, dia turut menawarkan untuk mengangkat istana Balqis dalam jangkamasa sekelip mata. Maka, dengan beberapa doa memohon pertolongan kepada Allah, dengan izin Allah, ‘Asif berupaya untuk mengangkat istana dalam masa sekelip mata sahaja dan diletakkan dihadapan Nabi Sulaiman a.s.
  • Jin yang badannya panjang dan tinggi (dalam masyarakat Melayu dipanggil hantu galah), berupaya untuk memanjang dan memendekkan badannya. Dalam bahasa mudah, badannya elastik atau kenyal.
  • Jin juga berupaya untuk menjelma dalam bentuk yang lain, iaitu menjadi ular, keldai, anjing, dan sebagainya.
  • Sebab itu, kadang2 sewaktu memburu, perlu membaca doa2 yang tertentu untuk mengelakkan daripada terkena gangguan jin. Sebabnya, jin boleh menyerupai binatang dan duduk tepi rakan pemburu, maka pemburu yang lain akan tertembak sesama sendiri menyangkakan itu adalah binatang buruan.
  • Hendak masuk ke dalam laut pun ada bacaan doa, bimbang terpijak jin.
  • Jangan membaling batu pada waktu malam, bimbang terkena jin. Jin berbentuk macam manusia juga, berjirim dan berjisim, Cuma tidak Nampak pada mata kasar manusia.
  • Orang yang bermimpi ular, samada bermimpi dipatuk ular atau terserempak dengan ular, mempunyai unsure-unsur akan terkena sihir.
  • Jika ada ular yang tersesat masuk ke rumah kita, JANGAN sesekali terus membunuh ular itu tanpa sebab. Hendak memberi amaran kepada ular itu terlebih dahulu dengan kata-kata begini “Engkau ular ke jin? Kalau jin, keluar dari rumah aku.” Beri amaran sebanyak tiga kali, jika ular itu tidak berganjak juga, barulah dipukul sampai mati.
  • Jin adalah satu makhluk yang pelik, jin boleh Nampak manusia, tetapi manusia tidak boleh Nampak jin MELAINKAN jin itu sendiri yang hendak menampakkan jirimnya kepada manusia. Tetapi, di Mahsyar nanti, manusia pula boleh melihat jin, tetapi jin tidak boleh lihat manusia.
  • Kalau ada seseorang yang mendakwa boleh Nampak jin, maka dia seorang pendusta MELAINKAN sebab yang tersebut di atas.

Bilakah Jin masuk agama Islam?

  • Semasa Rasulullah S.A.W pergi ke Taif, dan semasa dalam perjalanan pulang, baginda singgah sebentar untuk solat subuh. Jin-jin yang berada berhampiran terus memeluk Islam apabila mendengar bacaan baginda sewaktu solat.
  • Setelah Islam, jin pula balik dan berdakwah kepada kaum-kaum jin yang lain.
  • Rasulullah S.A.W pernah pergi berdakwah kepada kaum jin, hanya seorang sahabat yang ikut serta baginda iaitu Abdullah Ibn Mas’ud.
  • Jin pun ada menganut berbagai-bagai agama, seperti Buddha, Hindu, Confucios, Taoisme, Yahudi, Kristian, Scientology dan macam-macam lagi.

Adakah jin mempunyai jantina?

  • Ya, jin ada jantan, dan ada betina. Jin juga berkahwin dan beranak pinak.
  • Doa masuk tandas ada menyebut tentang syaitan jantan dan betina, faham daripada doa ini menunjukkan bahawa jin juga mempunyai gender.
  • Jin teramat suka duduk di dalam tandas, sebab itu jika kita selesai menunaikan hajat dalam tandas, jangan tunggu lama-lama dalam tandas.
  • Jin sangat banyak bilangannya. Nisbahnya 1:9 daripada manusia. Namun bilangan malaikat lebih banyak iaitu 1:99 dengan manusia.

Apakah Qarin?

  • Setiap dari kita mempunyai Qarin, maknanya satu jin yang menyerupai kita. Lahirnya manusia terus ada Qarin.
  • Semua Qarin adalah kafir, kecuali Qarin Nabi Muhammad S.A.W sahaja yang beragama Islam.
  • Sebab itulah dalam kes seseorang yang menuntut ilmu yang salah dan selalu berdamping dengan jin, maka selepas kematiannya, jin akan menyerupainya dan balik semula ke rumah.
  • Ramai orang yang menuntut ilmu hitam sangat sukar untuk mati kerana ada jin berkampung dalam badan.
  • Orang yang memakai susuk, hendaklah sedaya upaya membuang susuk awal-awal sebelum mati, kemudian bertaubatlah kepada Allah S.W.T.
  • Jin ini, kalau manusia memohon pertolongan kepadanya, dia akan datang kepada manusia sambil melompat-lompat kesukaan.
  • Salah satu unsur sihir adalah membaca ayat Qursi dalam tandas atau menulis al-Quran secara songsang.

Siapa yang jin takuti?

  • Sudah tentulah jin takut kepada Penciptanya, Allah S.W.T.
  • Selain daripada itu, jin juga takut kepada Nabi Sulaiman A.S dan Saidina Umar al-Khattab.
Pernah diriwayatkan, jin-jin dan syaitan tidak akan melalui lorong-lorong yang akan dilalui oleh Saidina Umar, bimbang terserempak dengan beliau.

Lain-lain info.

  • Jin akan selalu berkeliaran pada waktu senja. Nabi S.A.W berpesan, panggillah anak-anak masuk, dan tutup tingkap serta pintu menjelang senja. Jin dan syaitan tidak akan masuk rumah yang pintu dan tingkapnya tertutup.
  • Jika kita hendak tidur dalam masjid, jangan tidur depan pintu, kerana jin juga hendak masuk menunaikan solat. Dan jangan juga tidur di mihrab kerana jin-jin Islam akan bersembahyang di situ.
  • Ada beberapa ulama memberitahu, jin tidak mempunyai bangunan khusus, maka mereka akan menumpang bangunan milik manusia.
  • Dalam setiap rumah kita, memang terdapat jin. Bezanya Cuma jin itu mengganggu atau tidak, itu saja.
  • Sebab itu kadang-kadang kita terdengar bunyi pinggan mangkuk berlaga, mungkin disebabkan pergerakan jin yang tersentuh objek tersebut.
Itu sahaja untuk siri ke-2, insyaAllah jika diberi keizinan masa dan tenaga oleh Allah, saya akan meneruskan dengan siri berikutnya.

Wassalam.

Friday, January 28, 2011

Ust Ismail Kamus | Mengenal Jin Bahagian 1

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Semalam saja-saja kembali mendengar kuliah yang disampaikan oleh al-Fadhil Ust Hj Ismail Kamus tentang kupasan beliau mengenai alam jin. Memang berguna kepada kita semua untuk mengambil tahu hal ini selain daripada hal-hal agama yang lain. Saya ingin berkongsi serba sedikit mengenai isi kuliah ini. InsyaAllah saya akan cuba menyampaikan dengan sebaiknya mengikut gaya penulisan saya sendiri tanpa mengubah isi asal kuliah ini.

Baiklah, kita mulakan.

1) Apakah kepentingan kita mengambil tahu tentang alam jin ini?
  • Sebenarnya, mengambil tahu tentang alam jin ini bukanlah untuk lebih menakutkan kita tetapi supaya kita lebih kenal siapa sebenarnya jin, dan apa peranannya serta kedudukannya di akhirat kelak.
  • Supaya kita tidak menjadi syirik serta menduakan Allah jika tidak mengetahui siapa sebenarnya jin itu.
  • Supaya kita jangan terlalu takut dan jangan terlalu berani dengan jin ( Sebenarnya jin takut dengan kita, walhal kita pulak takut dengan dia)
2) Dari mana asal-usul jin?
  • Jin berasal daripada Jaan, iaitu bapa Jin. Gelarannya adalah Azazil.
  • Azazil juga adalah makhluk Allah. Allah menciptakan Azazil daripada api (lidah api yakni hujung api).
  • Azazil sudah beramal kepada Allah selama lebih 10000 tahun, namun terdapat kesombongan dalam dirinya yang menyebabkan dia tidak mahu menurut perintah Allah supaya hormat kepada Nabi Adam A.S ( Dalam Al-Quran disebutkan sujud kepada Adam).
  • Disebabkan keengganannya untuk sujud, maka Allah melaknatnya dan dihumban ke dunia.
  • Setibanya di dunia, terbahagi kepada dua bahagian iaitu jin dan syaitan.
  • Kedua-dua jin dan syaitan adalah berasal daripada satu sumber yang sama, cuma peranan dan namanya saja yang berbeza.
  • Jin ada yang beragama Islam dan ada yang kafir, tetapi syaitan kesemuanya kafir belaka.
  • Dalam bahasa Arab, apabila huruf jim dan nun bersambung dalam satu perkataan, maka membawa makna sesuatu yang tidak nampak. Contoh, al-jannah (syurga) adalah sesuatu yang tidak nampak, junna (pelindung) juga tidak nampak, janin ( bayi dalam kandungan) juga kita tidak nampak secara mata kasar, dan jin ( memang kita tidak nampak).
  • Jin Islam, ada yang baik dan ada yang tidak baik.
3) Apakah makanan jin?
  • Jin diciptakan daripada api, maka asal makanannya pun daripada api iaitu asap.
  • Manusia diciptakan daripada tanah, maka asal makanan manusia daripada tanah seperti nasi, lembu (lembu makan rumput, rumput daripada tanah).
  • Jin makan asap, sebab itulah kita dilarang keras untuk membakar kemenyan atau setanggi yang berbau walaupun ketika berlaku kematian. Sesetengah orang kita membakar kemenyan ketika berlaku kematian kononnya untuk mengelakkan bau busuk jenazah, tapi hakikatnya perbuatan itu dilarang dalam agama. Lebih-lebih jika melakukan perbuatan mengubat tradisional menggunakan kemenyan. Sebenarnya dukun atau bomoh yang menggunakan kemenyan sewaktu berubat, terang-terangan sedang menjamu jin-jin dengan asap kemenyan yang berbau busuk itu. Ada satu persoalan di sini, adakah orang yang menghisap rokok boleh dikatakan bersamaan dengan jin? =)
  • Ketika zaman Rasulullah S.A.W, para jin berjumpa Baginda dan meminta supaya Baginda menambahkan jenis makanan untuk kaum jin. Maka Nabi S.A.W bersabda supaya jin-jin ini untuk turut makan tulang-tulang sebagai makanan mereka selain daripada asap.
  • Jin Islam makan tulang-tulang binatang yang disembelih, manakala jin kafir sapu kesemua jenis tulang binatang.
  • Atas sebab itulah, kita dilarang untuk beristinjak dengan menggunakan tulang. Nanti mengamuk jin-jin sebab tulang iaitu makanan mereka kita guna untuk beristinjak.
  • Najis binatang ternakan manusia menjadi makanan kepada binatang ternakan jin.
4) Di mana jin duduk?
  • Tempat tinggal jin ialah di udara, di atas awan, di lautan luas dan di dalam hutan.
  • Sebab itulah kalau kita masuk ke dalam hutan dan hendak membuang air kecil, jangan terus buang air. Orang tua-tua zaman dulu selalu pesan suruh minta izin dulu. Contoh ayat "Tumpang lalu tok, anak cucu tumpang buang air kecil di sini". Sebenarnya betul pesan orang tua-tua zaman dulu, cuma pendekatannya saja yang salah. 
  • Begini, jikalau terpaksa buang air di tepi-tepi jalan atau dalam semak atas sebab yang darurat, maka hendaklah disebut "Salaamun 'ala Sulaymaana fil 'aalamiin". Iaitu satu sebutan yang boleh menyebabkan jin mendengarnya takut disebabkan kita menyebut nama Nabi Sulaiman A.S. Semua orang tahu kehebatan yang dikurniakan Allah kepada Nabi Sulaiman untuk menundukkan manusia, jin, dan binatang dibawah perintahnya. Atas sebab itulah, jin akan melarikan diri bila mendengar nama Nabi Sulaiman, maka selamat untuk membuang air.
  • Dalam sesetengah kitab feqah, ada melarang kita membuang air ke dalam lombong, atau sungai yang tenang, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana jin suka berendam pada waktu malam.
  • Bagi rumah yang telah lama kosong, maka sebelum menghuni rumah itu, hendaklah membaca surah al-Baqarah. Tidak perlu menepung tawar, atau mengetuk ancak dan sebagainya. Ini semua kepercayaan dan adat yang karut.
  • Kadang-kadang orang tua-tua selalu berpesan, kalau kita nak masuk ke dalam rumah pada waktu malam, dan rumah itu mengandungi anak kecil, jangan terus masuk. Sebaliknya duduk dulu lama-lama kat luar, baru masuk. Betul pesan itu, tapi silap pendekatan lagi. Masuklah dengan memberi salam dan bismillah, kemudian barulah menyentuh anak kecil itu. Jika tiba-tiba bayi menangis melolong dan suaranya naik meninggi, sahlah terkena gangguan. Macam mana hendak mengatasinya? Azan sekurang-kurangnya 7 kali. InsyaAllah. Jika sudah azan tidak menjadi juga, hendaklah membaca ayat Kursi dengan 9 kali tempat berhenti. Sebab ketika turunnya ayat Kursi yang diiringi 70000 malaikat dulu, para jin dan syaitan menjadi panas dan tidak keruan. 
  • Kenapa kena baca ayat Kursi dengan 9 kali berhenti? Sebab jin pun pandai membaca ayat Kursi. Tapi teknik bacaannya lain. Cuba bayangkan jika kita mengubati orang yang terkena gangguan jin dengan membaca ayat kursi, jin juga boleh sama-sama membacanya dengan kita. Bezanya dia tak dapat meneruskan bacaan jika kita berhenti 9 kali, maka akan terbakarlah dia.
5) Bentuk Jin?
  • Jin adalah makhluk yang paling buruk. Manakala manusia adalah makhluk yang paling sempurna dan cantik. Sebab itulah manusia yang tidak cantik tidak patut rasa malu, kerana itulah yang sempurna ciptaan Allah kepadanya jika dibandingkan dengan jin.
  • Jin ada yang tinggi, tingginya melampau. Yang gemuk, gemuk dan pendeknya melampau. Yang bulat, menggerutu badannya melampau. Sebab itulah orang Melayu meletakkan nama hantu galah untuk jin yang tinggi, toyol untuk jin yang pendek, dan hantu raya untuk jin yang sangat hodoh.
  • Atas sebab itulah, Allah S.W.T menutup hijab antara kita dengan jin. Jika Allah mengangkat hijab itu, maka akan pengsanlah umat manusia kerana betapa hodohnya jin itu. Wallahua'lam.
Itu sahaja sebagai permulaan. Bahagian kedua akan menyusul seusai saya mendengar lagi kuliah Ust.

Sekian. Wallahua'lam.